Selamat Lahir Kembali HZ 2017

Posted in *Luahan Hati on 3 Ogos 2017 by Muhd Hazmunshah Hafizuddin

Banyak yang telah berlaku selama aku tidak menulis di dalam blog ini. Entah mengapa pada hari ini aku merasanya perasaan yang tidak pernah aku alami selama hidup di muka bumi ini apabila hari lahir menjelang tiba.

Perasaan sayu dan sedih. Itulah hakikat perasaan yang aku alami pada saat ini. Aku gembira? ya..memang ada dan tidak dapat aku nafikan. Mungkin perasaan ini datang kerana umur yang telah meningkat dalam kehidupan juga meningkatkan lagi kematangan diri ke satu tahap yang boleh aku istilahkan “aku baru saja mempelajari satu lagi kehidupan baru”.

Terima kasih Allah kerana masih lagi memberikan keizinan untuk aku menumpang di muka bumi ini. Kepada semua keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa bersama dan tidak melupakan aku dalam doa-doa kalian, terima kasih aku ucapkan. Betapa bangga dan bahagianya diri ini dapat mengenali kalian dalam kehidupan ini.

“Selamat Lahir Kembali Muhd.Hazmunshah Hafizuddin…Semoga engkau dapat mencorak satu lagi kehidupan baru yang dapat memberi makna, impian dan harapan kepada mereka yang memerlukan, selama engkau masih sempat berbuat demikian.”

 

Dari Hati,

HZ

AXL’S – Andai Dapat Ku Undurkan Masa

Posted in *Luahan Hati on 27 Mac 2017 by Muhd Hazmunshah Hafizuddin

Dalam usikku merajuk seketika
Laluku pergi meninggalkan dirimu
Tampa kuduga
Lilin menjadi bara
Gurauanku jadi dilema prasangka

Kau menyangka aku pergi kerna dia
Yang tak pernah wujud dalam alam cinta
Belum sempat kujernihkan suasana
Engkau pula yang hilang entah ke mana

Puas sudah kumencari
Kutinggalkan pesanan kukirimkan
Berita agar dapat kutemui
Dirimu umpama sebutir permata yang bersinar

Andai dapat kuundurkan putaran dunia
Inginku ubah semula kata-kata dan tingkah laku ku
Yang salah agar kita dapat seiring
Di mercu asmara

Tak ingin lagi
Dan tak mahu lagi
berpisah bukan dengan kerelaaan hati
Penyesalan yang tak ada kesudahan
Kutersepit dalam jerat sendiri.

Salasilah Keturunanku

Posted in *Luahan Hati on 9 Februari 2017 by Muhd Hazmunshah Hafizuddin

Hai kehidupan….

Baru sahaja menyelesaikan kerja yang diberikan oleh makcik sebelah ayahku untuk menyiapkan satu tugasan yang telah merubah kehidupanku. Apa tugasan itu?ermmmm..jeng jeng jeng..MENYIAPKAN SALASILAH KELUARGA SEBELAH AYAHKU. Akhirnya aku mengetahui dari mana susur galur keluarga sebelah ayahku. Walaupun letih bersengkang mata namun amat berbaloi kurasakan. Berapa orang dari pembaca yang mengetahui susur galur keluarga masing-masing sepenuhnya ya? Bila saja aku menyempurnakan tugasan ini, sengaja aku mencetaknya agar dapat kuteliti dengan jelas sebarang kesilapan ejaan namun lain pula yang kurasakan. Aku merasakan cukup bertuah mempunyai keluarga sebesar ini. Dan lebih daripada itu, apa yang mengembirakan  adalah aku telah mengetahui setiap inci keturunan keluargaku bermula dari datukku sendiri. Nampak seperti tiada apa-apa namun aku merasakan diri ini cukup bangga dan bahagia. Aku bercadang untuk mencetak salasilah ini di kedai foto berhampiran dan membingkainya. Dengan demikian dapatlah aku menatapnya setiap masa dan ketika. Aku inginkan agar setiap keturunan selepas aku dapat mengetahui siapakah mereka tanpa terlupa dari mana sebuah keluarga ini bermula.

Yahoooo….bulan Mac nanti ada perkumpulan keluarga (Reunion Keluarga) sebelah ayah. Selagi wujud waktu terluang, aku tidak ingin tertinggal untuk bersama dengan semua keluargaku. Kita tidak akan mengetahui bila lagi akan mempunyai masa seperti ini. Kita hanya mampu merancang reunion sebegini namun dapatkah kita menghadirinya selepas ini tiada siapa dapat memastikannya. Semoga semua keluargaku berada dalam keadaan sihat dan bahagia sepanjang menunggu waktu reunion dilaksanakan.

Dan aku ingin memberikan satu perkongsian dengan kalian iaitu…….kita tidak akan pernah dan tidak akan mampu untuk hidup sendiri. Berusahalah untuk sendiri namun setiap ruang kehidupan akan ada terasa lompang dan kosong tanpa sebuah keluarga berdamping sepanjang jalan kehidupan ini.

Dari Hati,

HZ

SELAMAT LAHIR KEMBALI …. 2015

Posted in *Luahan Hati on 3 Ogos 2015 by Muhd Hazmunshah Hafizuddin

Salam Sehati Sejiwa semua. Hari ni rupanya hari lahirku.Ha..ha…da lupa sebenarnya. Mujur orang sekeliling ingatkan aku. Semenjak blog ini dibangunkan, hampir setiap tahun bercerita tentang pantasnya masa berlalu seiring dengan usia. Pada hari ini, aku menerima banyak ucapan hari lahir. Bermula dengan Isteri dan bekas anak muridku, rakan-rakan sepejabatku dan ramai lagi. Kalau di laman sosial jangan ceritalah. Tidak putus-putus. Bila dah ucapkan terima kasih atas ucapan hari lahirnya, datang lagi ucapan baharu…ha..ha….ermmm?? perlu aku ucapkan terima kasih pada semua pada 11.59 minit malam ini? mungkin? tapi risau jika waktu itu tidak tiba. Jadi baik lagi membalas ucapan setakat yang termampu. Ya tidak?

Hari ini semasa memandu dari Sandakan ke Telupid, aku berfikir tentang apa yang aku telah lalui sepanjang 30 lebih tahun hidup di muka bumi ini. Terlalu banyak keajaiban dan kepayahan. Hinggakan pada satu tahap aku berfikir, jika diberikan 1 peluang untuk menunaikan hajat pada hari lahir, aku inginkan keajaiban tidak akan pernah putus dalam hidupku. Realiti? he..he…hidup adalah keajaiban dan kepayahan. Seberapa kuatnya aku untuk menahan sakit, sakit pasti akan ada dan pasti akan tiba. Jadi lebih baik aku menikmati setiap detik hidup ini dengan hidup yang aku ada sekarang. Ya…semoga hidup ini akan bertambah dan bercambah menjadi keindahan hidup yang lebih baik berbanding kelmarin atau hari ini.

Terima kasih kepada keluarga dan sahabat handai yang mengucapkan selamat hari lahir kepadaku. Setiap ucapan (Yang terbalas ataupun tidak) adalah amat bermakna bagiku. Disebabkan oleh ucapan kalian, maka aku yakin dan percaya, masih ada lagi insan yang masih lagi ingatkan aku dan mengambil berat tentang aku selama ini…..Anda adalah sebahagian keindahan di dalam hidupku ini………………………Semoga Allah sentiasa merahmati apa jua yang kalian buat sepanjang hidup ini.

Dari Hati,

HZ

Road To Inarad 2015

Posted in *Luahan Hati, Makluman with tags , on 2 Julai 2015 by Muhd Hazmunshah Hafizuddin

Hello kepada semua pembaca budiman. “INARAD DATANG LAGI”….itulah ungkapan yang sesuai diungkapkan untuk coretan aku pada kali ini. Pada 29 Jun – 1 Julai 2015 yang lalu, SIP dan SISC+ serta seorang penolong pegawai pendidikan (Pra Sekolah) telah mencoretkan lagi sebuah sejarah daerah untuk meredah sekolah terjauh di daerah ini. “Road To Inarad 2015” adalah merupakan satu tugasan yang perlu dilaksanakan berikutan tugasan SIP dan SISC+ adalah menuntut untuk melaksanakan bimbingan kepada guru-guru fokus yang telah dikenalpasti bermula pada awal tahun lagi.

Dan aku? Ini adalah sekolah yang telah lama aku tinggalkan namun jauh di sudut hati ini, terselit kerinduan yang sukar untuk dimengerti. Aku berjalan ke sekolah untuk mencari “feel” yang telah lama aku tinggalkan. Kenapa sukar untuk mendapatkannya kembali? Aku berjalan mengelilingi sekolah, melihat tempat/kawasan di mana aku dan semua muridku bekerjasama melaksanakan pelbagai aktiviti sekolah namun kesedihan jua yang datang tanpa dipinta. Bukannya kesedihan apa…..kerana apabila memikirkan kembali murid-muridku yang telah menjejak dewasa menyedarkan aku betapa bertuahnya pernah menjadi salah seorang pendidik di sekolah ini. Ya…aku mengharapkan agar aku adalah sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.

Sempat juga aku mengumpulkan beberapa gambar kenangan untuk pembaca blog budiman sekalian. Sebelum melakukan perjalanan pulang dari sekolah ini, aku juga telah berjanji kepada beberapa orang murid untuk muatnaik gambar-gambar mereka. Kata mereka, “Mesti masukkan dalam internet ya cikgu, kami nak tengok”….ermmmm..tak percaya? ya….Inarad bukan lagi “Lost World” kerana perhubungan melalui telefon bimbit telahpun boleh diakses di sini. Apatah lagi internet. Cuma sahaja penyedia rangkaian adalah “MAXIS”. Jadi kepada sesiapa yang ingin ke Inarad, pastikan sim kad telefon anda berdaftar di bawah “MAXIS”. Fuhhhh..macam promosi pulak. Tapi itu adalah info yang mungkin berguna buat anda di kemudian hari.

Oh ya….hampir terlupa. Seorang Ustaz telah ditugaskan ke SK Inarad bermula minggu ini. Ustaz Muhammad Farhan Bin Suria. Selamat datang dan selamat berjuang aku dan rakan-rakan ucapkan kepadanya. Percayalah….tidak semua insan berpeluang sepertinya. Namun sejarah peluang itulah yang pasti akan diceritakan kepada sahabat/keluarga/anak cucu di kemudian hari sebagai satu pengalaman hidup yang cukup manis untuk didengari dan dikongsi bersama.

 

Pemandangan Kampung Inarad

Pemandangan Kampung (Padang SK Inarad)

Road2Inarad00020

Sekolah Kebangsaan SK Inarad 2015

Road2Inarad003

Taklimat SKPM Standard 4

Road2Inarad002

Taklimat SKPM Standard 4

Road2Inarad004

Taklimat SKPM Standard 4

Road2Inarad00001

Bengkel SKPM Standard 4 (PLC:Lesson Study)

Road2Inarad006

Bengkel SKPM Standard 4 (PLC:Lesson Study)

Road2Inarad008

Bengkel SKPM Standard 4 (PLC:Lesson Study)

Road2Inarad010

Bengkel SKPM Standard 4 (Penyetaraan Skor)

Road2Inarad012

Bengkel SKPM Standard 4 (Penyetaraan Skor)

Road2Inarad013

Bimbingan SISC+ (Bahasa Melayu)

Road2Inarad015

Bimbingan SISC+ (Matematik)

Road2Inarad00019

Me and my Ex-student

Road2Inarad014 Road2Inarad001 Road2Inarad016 Road2Inarad017 Road2Inarad018

Dari Hati,

HZ

SELAMAT HARI GURU 2015 (Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak)

Posted in *Luahan Hati on 16 Mei 2015 by Muhd Hazmunshah Hafizuddin

Hari ini seluruh Malaysia menyambut Hari Guru. Tarikh keramat 16 Mei setiap tahun sentiasa mekar di setiap sanubari insan yang bernama manusia. Apa tidaknya….siapalah manusia tanpa seorang GURU. Guru bukanlah semata-mata mereka yang telah/sedang mendidik kita di sekolah. Jauh dari itu, sesiapa sahaja yang pernah menurunkan proses ilmunya, mereka adalah layak digelar seorang guru. Menyedari hakikat ini baharulah kita mungkin tersedar bahawa kita pernah menjadi guru kepada seseorang.

Walau bagaimanapun, untuk kesekian kalinya lagi pada tahun ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih (Walaupun tidak akan terhitung pengorbanan seorang insan yang bernama guru) kepada semua insan yang pernah mendidik saya selama ini. Antara tempat yang pernah mendidik saya menjadi ‘insan’ seperti hari ini adalah :

1. SK Ulu Sapi, Telupid (Sabah) : 1987-1993
2. SMK Telupid, Telupid (Sabah) : 1994-1998
3. Matrikulasi Universiti Utara Malaysia, Sintok (Kedah) : 1999-2000
4. Universiti Utara Malaysia, Sintok (Kedah) : 2000-2003
5. Institut Perguruan Guru (Kampus Tawau) : 2008

Semoga pengorbanan warga pendidiknya akan sentiasa kukenang sehingga ke akhir usia. Merekalah yang pernah marah…merekalah yang pernah mengherdik malah memukul. Namun yang lebih penting lagi adalah merekalah juga yang memanusiakan aku.

Terima Kasih kepada semua yang pernah singgah di dalam hidupku ini. Walaupun hanya mencurahkan sekelumit ilmu, namun ilmu itulah yang memberi aku erti untuk melangkah jauh di dalam hidup ini.

SELAMAT HARI GURU….

Dari Hati,
HZ

JELUTUNG

Posted in *Luahan Hati with tags , , on 13 Mei 2015 by Muhd Hazmunshah Hafizuddin

Hai semua…terlalu lama tak kemaskini blog ini. Hari ini hati dan tangan terasa ringan nak buat kemaskini…he..he

JELUTUNG….sebenarnya adalah nama kelasku dari Tingkatan 1-3 semasa bersekolah di SMK Telupid dahulu. Dalam seminggu dua ini kenangan lama bersama kelas ini tidak putus-putus menerjah ke kotak fikiranku ini. Bukannya apa…..setelah sekian lama tidak bertanya khabar, tiba-tiba sahaja nombor telefonku di add ke dalam WHATSAPP bernama group JELUTUNG…he..he….bestnya dapat mendengar perkhabaran hampir kesemua rakan-rakan lama.

Di kala aku sedang asyik menulis blog ini, WHATSAPP ku masih lagi diserang dengan perbualan-perbualan menarik group ini. Jika ditanyakan perasaanku pada saat ini….pastinya aku bersyukur kerana mereka masih lagi mengingatiku insan yang tidak seberapa ini…terima kasih sahabatku Jennifer Anthony kerana ‘add’ aku dalam group kita ya…….

Bila ingatkan lagi, kelas kita ada lagu ciptaan sahabat kita Jason kan? Aku mengharapkan lagu tu akan dapat aku kongsikan nanti di blog ini jika berkesempatan dan pastinya setelah mendapat keizinan dari penciptanya la kan? hu..hu…

Hidup terlalu singkat untuk dimengerti….jika ditanya padaku bagaimana nak mengerti hidup ini sepantas yang termampu…..salah satu jawapanku adalah : Kerana Engkau Sahabatku sekalian….hidup ini dapat dimengerti dengan lebih pantas dari apa yang dapat kubayangkan…….

Dari Hati,

HZ

Perjalanan Merentas Masa

Posted in *Luahan Hati on 30 Oktober 2014 by Muhd Hazmunshah Hafizuddin

Selamat sejahtera semua pembaca budiman. 2 Hari lagi semua kakitangan PPD Telupid akan mengadakan Bengkel Pemantapan Pengurusan Pejabat bertempat di Hotel Perkasa, Kundasang. Semua mengharapkan agar bengkel yang akan diadakan nanti akan memberi impak yang sangat mendalam kepada semua kakitangan pejabat. Ahhhh..lupakan semua keletihan berulang-alik setiap hari dari Sandakan ke Telupid. Walau letih, sakit belakang yang menyerang sekali sekala ini sebenarnya wujud sejuta kegembiraan. Dapat melihat isteri dan anak-anak membesar di depan mata adalah kenangan yang tidak mungkin akan hilang walau masa merentas laju meninggalkan hidup ini. Bila ditanya kesukaran hidup mencari rezeki, memang payah dan sukar…namun inilah aku. Manusia yang berusaha dan semua yang diusahakan hanya mampu ku serahkan kepada Yang Mahakuasa agar usahaku diterima  dan diberkati olehNya. Ya…hidup ini sukar, namun seronok untuk dilalui. Bukannya manusia jika tidak pernah merasa sukar kan. Mari semua…..berusaha lagi  di dalam hidup ini……………..agar semuanya akan menjadi realiti untuk cuba mengejar dan membina sebuah kehidupan yang sempurna.

Ulang Tahun Perkahwinan Ke-6

Posted in *Luahan Hati, Keluarga HZ on 11 Januari 2014 by Muhd Hazmunshah Hafizuddin

Assalamualaikum/Selamat Sejahtera..

Hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan (tahun ke-6) aku dan isteriku. Terlalu banyak lakaran sepanjang bergelar suami kepada seseorang. Isteriku (dengan izin Allah) telah memberikan kami dua orang cahaya mata yang suci murni sesuci dan sebersih kain putih. Lutfi kini telah berusia 3 tahun 5 bulan dan Lutfi Hafiy kini berusia 10 bulan. Aku merasakan aku adalah suami dan ayah yang paling bertuah di muka bumi pada waktu ini.

Terima kasih kepada isteriku. Pengorbananmu tidak akan dapat kubalas dengan apa cara sekalipun. Engkau tabah melayan kerenahku walau kadangkala terdapat masa engkau mungkin menangis sendiri tatkala aku bermaharajalela dengan kesilapan lalu. Semoga engkau sudi memaafkan segala dosa dan silapku selama aku bergelar suami kepadamu.

Aku ingin menjadi seorang lelaki yang insaf .. insaf dari segala perkara yang benar-benar telah melumpuhkan hidup beberapa orang pada kesilapan lampau. Aku ingin berubah menjadi seorang yang memohon keampunan…sujud menyembah Allah tanpa rasa bersalah dan rasa berdosa. Aku ingin memohon maaf kepada mereka yang pernah aku sakiti.

Andai masa boleh diundur beberapa detik dan waktu … sudah pasti banyaknya perkara yang perlu diubah atau tidak akan kulakukan memandangkan kesannya adalah luka yang masih lagi belum sembuh. Namunpun demikian, aku ingin mereka semua tahu bahawa aku juga insan ciptaan Allah. Aku luka, aku sakit, aku meratapi diri malah menangis tanpa diminta. Dan engkau isteriku …. engkau adalah insan yang kuharap dapat mengerti semua perasaan itu. Syukurlah … engkau sentiasa mendampingiku dikala suka dan duka. Agar aku tabah untuk meneruskan hidup sebagai seorang suami dan ayah yang tahu menilai erti sebuah KELUARGA .. walau kadangkala rasa bersalah untuk aku melangkah kaki meninggalkan banyaknya sisa kesalahan yang aku lakukan tanpa disusuli permohonan maaf yang ikhlas. Entah diterima permohonan maaf itu ataupun tidak .. hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Bekerja @ Tidak Bekerja ?

Posted in *Luahan Hati on 10 Januari 2014 by Muhd Hazmunshah Hafizuddin

Hello para pembaca budiman…

Selama beberapa minggu ini, aku didatangi dengan dokumen-dokumen yang memerlukan semakan sebelum proses pembayaran dapat dilakukan. Pening, pusing, letih dan pelbagai lagi rasa keletihan (termasuk memandu setiap hari 240 KM – Ulang alik) dapat kurasai sepanjang tempoh itu berlangsung.

Di dalam proses kerja semacam ini, aku berharap agar kesilapan proses kerjaku tidak akan mengucar-kacirkan keadaan. Dan kalau boleh aku ingin mengelakkan keadaan semacam itu daripada berlaku. Namun, tidak semua perkara berjalan lancar seperti yang dikehendaki. Kadangkala terpaksa juga menerima hakikat pekerjaanku tidak akan dapat disempurnakan mengikut kemahuan sesetengah pihak. Walaupun begitu, sesetengah pihak itulah yang banyak membantu aku menyelesaikan kesilapan-kesilapan yang terjadi akibat perbuatanku. Terima kasih dan tahniah kepada mereka yang tidak pernah mengeluh dengan karenah kesilapanku…he..he…

Untuk pengetahuan para pembaca budiman, diriku bergelut dengan situasi yang sungguh mencengkam perasaan. Cukup begitu…..aku tidak ingin memanjangkan cerita merungkai silap diri sendiri dan orang lain. Apa yang aku doakan (sudah pastilah menjadi harapan besar) adalah, aku dapat meneruskan hidup tanpa perlu menyakiti dan menyusahkan hidup insan lain. Ada masanya aku tertekan dengan pekerjaanku sendiri namun pada masa yang sama aku juga perlu mengakui, pekerjaan inilah yang membawa aku berlari untuk bergelar insan bertanggungjawab pada hari ini. Jika aku bertanya pada diri sendiri siapa aku? Aku adalah insan dewasa yang masih lagi memerlukan pengalaman. Pengalaman yang akan mampu aku bawa untuk hari-hari seterusnya dan apabila sesiapa yang bertanya tentang kisahku di kemudian hari, aku masih lagi boleh untuk tersenyum sambil bercerita tentang pengalaman hidup yang sering sahaja mendewasakan diriku sehingga ke waktu ini………………..

Dari Hati,

HZ